Thursday, 1 May 2008

Kehangatan Anugerah Industri Muzik (AIM 15 2008)

SEJAK diperkenalkan pada tahun 1994, Anugerah Industri Muzik (AIM) yang disifatkan sebagai salah sebuah anugerah muzik paling berprestij di negara ini tidak pernah bebas daripada kontroversi.Bermula dengan pengumuman calon-calonnya sehinggalah kepada keputusan pemenangnya, pastinya akan ada polemik dan ketidakpuasan baik daripada kalangan karyawan seni tempatan mahupun peminat setia hiburan tanah air.

Tahun ini, menyaksikan AIM sudah pun berusia 15 tahun dan ramai yang mula bertanya, mampukah AIM15 bebas daripada sebarang kontroversi? Adakah anugerah itu mampu mengubah senario hiburan tanah air yang dilihat semakin suram.

Pengurus Besar Persatuan Akademi Industri Muzik Malaysia (PAIMM), Jennifer Thompson dalam satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini, berkongsi pandangan mengenai penganjuran AIM dan tuntutan semasa industri hiburan secara keseluruhannya.

"Kalau anda bertanya kepada saya adakah tahun ini AIM15 akan bebas kontroversi, itu adalah satu persoalan yang sukar untuk saya jawab kerana bagi saya, apa jua pertandingan yang diadakan di dunia ini, pasti akan ada pertikaian. Rasa tidak puas hati yang timbul baik sebelum mahupun selepas acara berlangsung.

"Adalah satu perkara yang mustahil untuk menghindarkan kontroversi daripada terus melanda. Saya melihat AIM bukanlah satu pertandingan tetapi lebih kepada mengiktiraf hasil karyawan seni tempatan yang terbaik," katanya tegas penuh makna.

Beliau mengakui, mungkin kontroversi tercetus apabila ada beberapa nama yang kurang mesra pada pendengaran mereka dijulang dan diiktiraf serta berjaya mengalahkan nama-nama besar yang turut tercalon dalam mana-mana kategori yang dipertandingkan.

Namun, Jeniffer memberitahu, apa yang AIM lihat dan pandang sejak tahun 1994 adalah kualiti yang ditampilkan oleh setiap artis yang menerbitkan album.

"Keadaan itulah yang membezakan AIM dengan acara anugerah yang lain kerana pengiktirafan diberikan kepada mereka yang ternyata begitu serius dan komited dalam melahirkan album yang berkualiti," jelas Jennifer yang sudah 13 tahun terlibat dalam pengendalian AIM.

Dengan adanya pengenalan Ketua Juri tahun ini yang diterajui oleh maestro muzik terkenal, Ramli M.S, ramai yang berpendapat, ia mampu mengubah senario AIM daripada terus dilanda kontroversi yang tidak pernah bernoktah.

Saat ditanyakan kepada Ramli persoalan tersebut baru-baru ini, kehadirannya sebagai ketua juri adalah untuk meluluskan segala keputusan yang telah dibuat.

"Selaku ketua juri, saya tidak akan mempertikaikan keputusan yang telah dibuat oleh juri yang dilantik kerana ia adalah pilihan sebulat suara secara bersama. Malah, saya sendiri tidak mahu tahu siapa pemenangnya.

"Seandainya dalam menentukan pemenang untuk satu-satu kategori itu, 18 daripada 20 orang juri sebulat suara memilih pemenangnya, saya tidak boleh berkata apa," jelas Ramli mengenai peranannya sebagai Ketua Juri AIM15.

Katanya, beliau hanya akan 'bersuara' sekiranya keputusan itu membabitkan markah yang sama untuk dilakukan penelitian semula berhubung markah yang diberikan. Jika hanya terdapat perbezaan dalam satu atau dua markah sahaja, dia akan meluluskan dan berikan kepada Ernst & Young untuk diaudit.

"Apa yang saya boleh katakan, kontroversi tidak akan dapat lari dari setiap pertandingan," jelas Ramli.

Berbalik kepada AIM15, kontroversi awal mula melanda saat beberapa kategori baru diwujudkan dan menjadi bahan perdebatan terutama apabila kategori Lagu Bahasa Melayu Terbaik Yang Dipersembahkan Oleh Artis Luar Negara diperkenalkan bagi menggantikan kategori Album Indonesia Terbaik.

Masakan tidak, kelima-lima calon yang bertanding dalam kategori tersebut adalah artis Indonesia dan lebih baik seandainya kategori Album Indonesia Terbaik diwujudkan kembali.

Begitu juga dengan kewujudan kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu yang dipecahkan kepada dua buah kategori iaitu untuk lagu bahasa Malaysia dan bukan bahasa Malaysia.

"Apa yang kami lakukan adalah untuk perkembangan industri hiburan tempatan serta mengikut arus perubahan muzik tanah air yang kita lihat sekarang ini memang sukar diramal.

"Seperti yang kita maklum, hari ini, masyarakat lebih suka memuat turun muzik yang mereka suka dari Internet mahupun merakamkan secara terus daripada radio. Malah, kami juga mengiktiraf karya digital untuk dicalonkan dalam AIM tahun ini," ujar Ramli lagi.

Menurut seniman itu, segala pertukaran yang dilakukan dalam AIM15 bukanlah satu keputusan yang mudah untuk dilaksanakan. Bahkan, ia mengambil masa yang lama untuk ditentukan dan setelah berbincang dengan pihak jawatankuasa serta memikirkan impaknya pada industri, barulah ia diteruskan, sejajar dengan usaha mengangkat semula martabat industri muzik tempatan.

"Siapa tahu di masa hadapan dengan penerbitan album studio yang semakin berkurangan, akan diadakan pula kategori hanya berdasarkan lagu ataupun single yang dikeluarkan oleh artis tempatan sebagaimana yang dilakukan dalam anugerah Grammy.

"Setiap perubahan yang kami lakukan adalah secara perlahan-lahan dan mengikut arus permodenan industri hiburan tempatan hari ini. Kami tidak mahu membuat sebarang perubahan secara drastik kerana bimbang agak sukar diterima nanti," jelasnya panjang lebar.

KeliruSementara itu, Jennifer memberitahu, industri muzik ketika ini boleh dikatakan sebagai keliru kerana seleras pendengar sukar ditentukan.

Malah katanya juga, dengan adanya AIM juga tidak menjamin bahawa seseorang artis yang memenangi trofi AIM akan menjadi terkenal dalam sekelip mata.

"Ramai penerbit mahupun komposer mengadu kepada saya bahawa mereka sendiri tidak tahu bagaimana hendak puaskan hati masyarakat. Jika hendakkan perubahan, rasanya kita sudah lakukan apa yang mereka mahukan. Kita lihat bagaimana Shanon Shah memberi dimensi baru dalam karya muzik tempatan dan apabila dia menang trofi AIM, nasib tidak juga menyebelahi dirinya.

"Memang benar, AIM merupakan platform bagi artis tempatan untuk membina dan mempopularkan nama masing-masing tetapi kita perlu lihat apa yang perlu dilakukan selepas itu. Semuanya bergantung kepada usaha artis dan syarikat rakaman itu sendiri untuk terus memperkenalkan nama mereka," tambahnya.

Beliau mengambil contoh kumpulan Innuendo apabila mereka memenangi enam trofi sewaktu AIM 1998. Memang pada waktu itu, Innuendo begitu popular dengan lagu Belaian Jiwa serta memberikan nafas baru dalam penghasilan karya muzik tempatan. Syarikat rakaman mereka pada waktu itu, Positive Tone mengambil langkah bijak dengan mengedarkan semula album mereka.

"Ternyata strategi mereka berjaya dan penjualan album mereka pada waktu itu juga meningkat. Jadi, semua pihak harus memainkan peranan dalam memastikan produk mereka diterima," ujarnya penuh makna.

Tambahnya, dia mengambil beberapa contoh artis seperti Datuk Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah dan Faizal Tahir yang tahu hala tuju muzik mereka dan disebabkan itu, peminat mudah menerima mereka.

"Kebanyakan artis masa kini tidak tahu hala tuju mereka dan disebabkan itu, album mereka menjadi rojak sehingga menyebabkan peminat juga keliru," kata Jennifer jujur.

Bercerita tentang persembahan pada malam AIM15 yang akan diacarakan oleh Adibah Noor dan Afdlin Shauki itu, Jennifer menjelaskan, ia menjanjikan sesuatu yang berlainan daripada tahun-tahun sebelumnya.

"Memikirkan konsep persembahan juga sebenarnya memeningkan kepala saya (ketawa). Kami tidak mahu ia sama dengan konsep persembahan yang pernah ditampilkan dalam semua anugerah yang telah berlangsung.

"Apa yang boleh saya katakan, penonton akan dapat menyaksikan persembahan mantap dan berbeza daripada artis-artis yang telah dipilih seperti Siti Nurhaliza, Anuar Zain, Dayang Nurfaizah, Hazami, Atilia dan ramai lagi. Saya tidak mahu bercerita panjang kera
na ia tidak akan menjadi kejutan kelak," katanya sambil tersenyum.

Utusan.com.my

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Powered by Blogger.