Monday, 9 June 2008

Waheeda lega


Rasanya sudah berbuih mulut pemenang anugerah Album Pop Etnik Terbaik di Anugerah Industri Muzik Malaysia Ke-15 itu menegaskan perkara yang sedang hangat diperkatakan itu tidak pernah berlaku.

Begitupun, yang anehnya apabila Waheeda berkata 'tidak', semakin ramai pula pihak mempercayai gosip terbabit.

Berita itu semakin hangat diperkatakan kebelakangan ini apabila Waheeda baru-baru ini membuat kenyataan mahu menarik diri daripada bidang seni dan menceburi bidang pendidikan dengan membuka tadika dan mengajar bahasa Inggeris.

Bagaimanapun, penyanyi yang popular dengan lagu Wassini itu boleh menarik nafas lega apabila Akil Hayy sendiri yang ditemui pada majlis pelancaran album Nasyid Legenda 2 baru-baru ini, secara jujur menegaskan dia tidak pernah berkahwin dengan Waheeda.

Sewaktu dihubungi bagi mendapatkan kenyataan balas, jelas Waheeda, perkara itu seharusnya tidak perlu diungkit kembali kerana dia mahupun Akil sudah pun memberi penjelasan sebelum ini.

"Saya sendiri tidak tahu mengapa ramai pihak masih terus beranggapan perkara itu benar sedangkan saya sebelum ini sudah pun menjelaskan tidak pernah berkahwin dan tidak akan menyorokkan status kerana bukankah perkahwinan itu sesuatu yang baik?

"Seperti juga dengan pihak Akil, saya sendiri turut mengharapkan agar perkara ini tidak dipanjang-panjangkan kerana bimbang apabila ia terus diperkatakan, gosip itu akan bertukar menjadi fitnah," katanya.

Jelas Waheeda, walaupun berasa tertekan dengan dakwaan tidak berasas itu tetapi dia cuba tidak melatah dan menganggap ia satu dugaan daripada Allah.

Dalam waktu sama, Waheeda turut menafikan bukan kerana dakwaan tidak berasas itu dia mengambil keputusan untuk meninggalkan dunia seni.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Powered by Blogger.