Friday, 5 December 2008

Duet Melly Goeslaw dan Yusry KRU gandingan mantap

IDEA yang diusul Persatuan Karyawan Malaysia (Karyawan) untuk melaksanakan kuota 90:10 untuk lagu tempatan serta karya luar turut mendapat perhatian penggiat seni terkenal Indonesia, Melly Goeslaw.

[caption id="attachment_9" align="alignnone" width="375" caption="PERSEMBAHAN Yusry dan Melly pada KLIFF 2008 baru-baru ini."]PERSEMBAHAN Yusry dan Melly pada KLIFF 2008 baru-baru ini.[/caption]

Ada sisi positif dan negatifnya, namun itu semua terpulang kepada penilaian masing-masing apatah lagi setiap manusia berhak untuk menyuarakan pendapat sendiri.

Penyanyi negara jiran yang popular dengan lagu Ku Bahagia ini memberitahu, dia cukup menghargai kuota yang memberi keutamaan kepada lagu tempatan dan selebihnya buat lagu luar.

"Saya hargai usaha ini biarpun pendekatan muzik yang diluah itu harus diterjemah secara terbuka dan universal," ungkap Melly pendek.

Dalam kesibukan rakyat Malaysia mengalun suara tegas tentang kuota tersebut, terdapat pula khabar angin mengaitkan lagu gubahan tempatan tidak berkumandang bebas di corong udara negara jiran itu.

Dalam riak tenang dan bersahaja, Melly pantas menghuraikan jawapan terbaik berhubung permasalahan itu.

"Tak saya nafikan, memang lagu dari negara Malaysia dah kurang diputar di sana. Situasi ini saya melihat bergantung kepada jurang dan perbezaan bahasa.

"Ada beberapa sebutan bahasa Melayu yang tak jelas dan kurang difahami menjadi kekangan kenapa lagu di sini tidak dimainkan.

"Bukannya tiada langsung artis Malaysia yang lagunya masih berkumandang di sana, sebagai contohnya penyanyi, Winnie K.

"Andai ikut pandangan dan pemerhatian saya sendiri, muzik tiada batasannya dan soal bahasa hanya bersifat subjektif.

"Ia berbalik kepada soal lagu itu sedap didengar atau jelek. Sebagai seorang pemuzik, bukan menjadi hak saya memberi jaminan sama ada lagu itu boleh diputarkan ataupun tidak di negara lain.

"Mengikut prinsipnya, kuota yang ingin dijana itu memanglah kelihatannya baik, cuma mungkin ada impak yang positif dan negatif dalam satu-satu perkara yang dibuat.

"Pentadbiran sesebuah negara bertanggungjawab untuk melindungi karya negaranya, namun sejauh manakah kita mampu memberikan batasannya apatah lagi andai ia mampu diperolehi dengan mudah, menerusi kemudahan teknologi bak internet.

"Lagu sekarang sama ada yang terbaru atau lama memang mudah dimuat turun di laman web sebagai contohnya, You Tube," bicara Melly dalam butir bicara serius.

Pencipta lagu runut bunyi

Dalam perkembangan terbaru, Melly turut memberikan sebuah lagu kepada penyanyi Krisdayanti untuk dimuat dalam album runut bunyi filem, Ketika Cinta Bertasbih.

Sambung ibu kepada dua cahayamata ini, dia membikin lagu berdasarkan kepada ilham pembacaan dan pengalaman.

Katanya lagi, lagu runut bunyi secara langsung dibikin dengan merujuk kepada penceritaan dan plot cerita sesebuah skrip filem.

"Saya tak meletakkan sebarang syarat atau kriteria kepada mana-mana artis yang ingin dapatkan khidmat saya mencipta lagu.

"Saya amat terbuka dalam bermacam perkara, tapi ia bergantung sama ada saya sibuk atau tidak," ujarnya yang mengakui bercita-cita ingin berduet bersama penghibur antarabangsa, Celine Dion suatu hari yang indah nanti.

Kehangatan nama Melly mula terpancar setelah dia berhasil membikin album runut bunyi filem, Ada Apa Dengan Cinta lakonan Dian Sastrowardoyo dan Nicholas Saputra pada 2001.

Tidak terhenti di situ sahaja, status Melly terus dijunjung ke hierarki lebih tinggi apatah lagi hampir semua sentuhan yang lahir menerusi jiwa Melly terus menjadi sebutan ramai.

Sebagai seorang pemuzik yang sentiasa mencambah akar seni tidak terjangkau batasannya, Melly mengakui dia tidak pernah terfikir hasil ciptaannya sebelum ini bakal jadi popular hingga kedengaran di ruang udara negara lain.

"Situasi ini bukan dirancang sesuka hati, malah ia juga berada di luar bidang kuasa saya," luah Melly perlahan sebagai aras kurang gemar dilabel karyawan terulung di negara itu.

Isteri Anto Hoed dan ibu kepada dua anak lelaki ini, Anakku Lelaki Hoed, 8 dan Pria Bernama Hoed, 5, itu sering menjadi pilihan untuk menghasilkan album berbentuk runut bunyi.

Setelah membikin album untuk filem Eiffel.. I'm In Love, Bukan Bintang Biasa, Tentang Dia dan Heart, Melly kini di dalam perangkaan memberikan tumpuan untuk runut bunyi filem Ketika Cinta Bertasbih.

Mengimbas bagaimana dia boleh mencipta sebuah lagu untuk filem Malaysia, Cicakman 2: Planet Hitam kata Melly, dia dihubungi oleh Norman dan diberi dua pilihan. Sama ada untuk mencipta lagu genre rock atau balada romantik.

Setelah berfikir lebih lanjut, Melly tekad memilih lagu berentak balada agar ia dapat disesuaikan dengan jalan penceritaan filem ini.

Bagai peluang keemasan bergolek di depan mata, penyanyi dan komposer yang turut menganggotai kumpulan Potret ini menyatakan kesudian berduet dengan Yusry Abdul Halim menerusi lagu yang diberi judul, Dibius Cinta.

Lagu itu turut diselitkan dalam album runut bunyi Cicak-Man 2: Planet Hitam. Penghasilan lagu runut bunyi ini seperti biasa mengundang tarikan untuk mengajak peminat menonton filem yang bakal ditayang mulai 11 Disember ini.

Kesudian Melly untuk melibatkan diri bersama Yusry bertitik tolak kepada minatnya bersama seisi keluarga bagi menonton Cicak-Man pertama.

"Saya teruja dapat bekerjasama dengan sesiapa, malah begitu juga dengan Yusry. Tiada sebarang diskriminasi atau pilih kasih buat saya.

"Dia (Yusry) sangat menyenangkan dan kolaborasi kami jadi satu perkara menyihatkan," ungkap Melly ringkas mengenai Yusry, sambil melayang sekalung pujian kepada Cicak-Man 2 yang sempat ditontoninya minggu lepas di Cathay Cineplexes, Mutiara Damansara.

Cara Melly rapat dengan Yusry

Kenyataan yang satu ini sukar untuk ditidakkan. Dan individu yang paling teruja dapat bekerjasama dengan penggiat seni sehebat Melly sudah tentulah, Yusry Abdul Halim.

Bahkan, lagu nyanyian mereka, Dibius Cinta makin mendapat tempat di corong-corong radio, lantas membuatkan lagu ini dengan mudahnya bermain di bibir peminat.

Yusry sempat memperlihatkan perasaan berbunga keriangan apabila dia berupaya menjalankan kolaborasi bersama Melly dan suami tercinta, Anto Hoed.

"Meskipun bertaraf sebagai bintang yang terkenal di Indonesia, mereka masih dikenali dengan sifat rendah diri.

"Lagu Dibius Cinta ini dirakamkan pada bulan Februari lepas, sementara klip video lagu itu dihasilkan sekitar Jun lepas di Indonesia.

"Seronok sangat dapat bekerja sekali dengan Melly. Sehari sebelum kami merakam suara di sana untuk lagu ini, dia ajak saya menonton filem Ayat Ayat Cinta.

"Kebetulan filem itu masih ditayang di Indonesia. Mungkin itulah cara Melly mewujudkan keserasian, lalu mengurangkan perbezaan atau jurang sesama kami.

"Apabila Melly menyatakan persetujuan untuk memberikan lagu sekali gus menyanyikannya bersama saya, memang terkejut sebab tak sangka perkara ini benar-benar berlaku," ungkap Yusry sambil tersenyum manis.

Ditanya tentang reaksi pemuda kacak ini apabila dia dapat bergandingan dengan wanita berbakat ini, hingga melakar sejarah penyanyi Malaysia pertama berduet dengan Melly, ringkas sahaja butir bicara Yusry.

"Tak sukar bekerjasama dengan Melly kerana dia amat senang menunjukkan komitmen, malah dia juga memberi pelbagai idea untuk pembikinan video klip yang menjalani penggambaran di sebuah studio di Jakarta," akuinya.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Powered by Blogger.