Wednesday, 10 December 2008

Norish Karman Dituduh culik remaja

Saya hanya beri perlindungan''. Demikian jelas pelakon terkenal, Norish Karman berhubung tindakannya yang didakwa menculik seorang remaja perempuan anak kenalannya sendiri sejak tiga minggu lalu.

Norish atau nama sebenarnya Nor'asikin Karman didakwa telah menculik Nadia Asherine Byrne William Walters, 14, pada 1 November.



NORISH (kanan) memperkatakan sesuatu kepada Nadia sambil diperhatikan oleh Kasmah (tengah) di Pondok Polis Mutiara Damansara, Petaling Jaya semalam.




Ekoran tindakan Norish itu, ibu kepada remaja itu yang merupakan ahli perniagaan telah membuat laporan polis pada 5 November lalu berhubung kejadian tersebut.

Mengimbas kejadian itu, cerita Norish, sebelum beliau didakwa menculik, Nadia telah menghubunginya pada 1 November lalu untuk meminta beliau menjemputnya di sebuah pusat beli-belah di Jalan Ampang di sini.

Menurutnya, Nadia ketika itu memaklumkan dia amat memerlukan bantuannya selepas mendakwa telah ditinggalkan ibunya di situ.

"Saya tak jemput pun Nadia pada masa itu kerana saya ketikaitu berada di lokasi penggambaran.

"Bagaimanapun, saya yang kasihan dengan Nadia telah meminta dia pulang ke rumah neneknya di Kampung Melayu Subang,'' katanya ketika ditemui di Pondok Polis Mutiara Damansara di sini semalam.

Menurut pelakon drama popular Spa Q itu, beliau telah mengenali Nadia dan keluarga tersebut sejak enam tahun lalu.

Malah dalam tempoh itu, Nadia selalu bertandang ke rumahnya dan hubungan mereka juga sangat akrab sehingga Nadia memanggilnya dengan panggilan bonda.

Mengulas lanjut, Norish memberitahu, sehari kemudian Nadia muncul di rumahnya di Damansara dan menceritakan segala masalah yang dihadapinya.

Katanya, sebagai wanita dan ibu, beliau berasa kasihan dengan keadaan dan masalah yang didakwa dihadapi Nadia.

"Sebab itu saya tidak mahu membebankan dia (Nadia) dan memberi perlindungan kepadanya.

"Saya kenal ibu Nadia, tapi tidak sangka pula niat baik saya memberi perlindungan kepada Nadia telah disalahertikan oleh ibu Nadia,'' katanya hampa.

Menurut Norish, nenek remaja tersebut, Kasmah Aziz, 58, juga mengetahui kedatangan remaja tersebut ke rumahnya ketika itu.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Powered by Blogger.