Friday, 5 December 2008

Pertandingan Bintang Irama Malaysia

Pertandingan Bintang Irama Malaysia yang bertujuan untuk mencari bakat-bakat baru genre irama Malaysia terutamanya daripada golongan muda dan bukan Melayu telah berjaya mencapai matlamatnya.

Memasuki tahun kedua, pertandingan peringkat akhir yang berlangsung pada malam Sabtu lalu di Auditorium Perdana, Angkasapuri, RTM menyaksikan 11 peserta bertanding dan disertai oleh tiga peserta Cina serta seorang peserta India.Malah, ia berjaya menarik perhatian peserta muda dari Sabah dan Sarawak.

Lebih 800 peserta telah datang mencuba nasib dan apa yang mengejutkan adalah kehadiran hampir 200 peserta bukan Melayu pada sesi uji bakat yang diadakan pada Mei lalu.

Menyasarkan peserta pada usia 15 hingga 35 tahun, taraf kualiti pesertanya juga menampakkan peningkatan terutamanya golongan bukan Melayu.

"Kali ini anda boleh melihat peningkatan kualiti terutamanya peserta bukan Melayu. Kami bukannya mahu memenuhi kuota tetapi standard mereka adalah sama dengan peserta Melayu. Cuma peserta Melayu lebih bagus dari segi sebutan dan juga dari segi penghayatan.

"Mungkin kerana irama Malaysia lebih mendekati jiwa Melayu, jadi peserta bukan Melayu tidak dapat menghayati sepenuhnya. Mereka cuma meniru cara nyanyian penyanyi asal. Maka, lenggok nyanyian itu tidak dapat dirasai.

"Namun, mereka juga menyerlah dan kami tidak memberikan anugerah secara suka-suka. Mereka ada potensi," ulas ketua juri, Datuk Mokhzani Ismail.

Membahagikan 40 peratus untuk markah suara, 20 peratus untuk persembahan, 30 peratus untuk kreativiti dan 10 peratus untuk penampilan, peserta berusia 16 tahun dari Sabah, Nurain Asyikin Ibrahim diangkat sebagai juara musim ini.

Dia yang menyampaikan lagu berjudul, Manira mengalahkan peserta kegemaran, Norfazlina Awang yang hanya berjaya menduduki tempat kedua.

"Norfazlina menang anugerah Vokal Terbaik tetapi hanya mendapat tempat kedua. Walaupun vokal dia lebih baik daripada juara, tetapi vokal cuma merangkumi 40 peratus daripada markah keseluruhan.
TAN YEE MING

"Dari segi lain, Nurain lebih menonjol dan itu adalah pakej yang kami ingin cari," tambah Mokhzani ketika ditemui selepas pertandingan.

Kelihatan terkejut apabila dinamakan sebagai juara, Nurain yang ingin menjadi penyanyi profesional tidak pernah menyangka dirinya akan diumumkan sebagai pemenang. Sementelah, dia memasuki pertandingan ini atas desakan ibunya.

"Masa uji bakat di Kota Kinabalu saya sedang mengambil peperiksaan di sekolah. Itu adalah hari terakhir peperiksaan. Selepas peperiksaan, saya terus menghadiri uji bakat. Saya langsung tidak bersiap sedia untuk uji bakat ini.

"Tidak sangka saya boleh menang kerana semasa latihan akhir sebelum pertandingan, saya masih melakukan kesalahan. Malah, saya menangis kerana terlalu banyak kesilapan yang dilakukan," katanya yang meminati Datuk Siti Nurhaliza.

Membawa pulang wang tunai sebanyak RM10,000, piala pusingan, piala iringan dan sijil penyertaan, Nurain buat masa ini tidak tahu bagaimana untuk menggunakan wang hadiahnya.

"Buat masa ini saya tidak tahu cara untuk menggunakan wang ini. Mungkin saya akan menyimpan untuk melanjutkan pelajaran pada masa depan."

Sungguhpun berada di tempat kedua, Norfazlina, 16, yang menyampaikan lagu Canggai turut membawa pulang anugerah Vokal Terbaik.

Maka, dia memenangi wang tunai RM8,000, piala iringan, sijil penyertaan untuk tempat kedua dan RM2,000, piala iringan dan sijil untuk anugerah Vokal Terbaik.

"Walaupun hanya mendapat tempat kedua, saya tidak kecewa. Saya ada menang anugerah Vokal Terbaik. Jadi ia sudah cukup baik untuk saya," ucap peserta yang berasal dari Negeri Sembilan ini.

Tempat ketiga pula dimenangi oleh Mohd. Akhiri Muda, 32, yang mempertaruhkan lagu Ratib Orang Lautan. Dia membawa pulang wang tunai RM6,000, piala iringan dan sijil penyertaan.

"Ini adalah pengalaman baru. Saya dapat mengetahui secara mendalam apa itu irama Malaysia menerusi pertandingan ini dan mula menyukainya," beritahu bapa kepada tiga orang anak ini.

Manakala anugerah Persembahan Terbaik dimenangi oleh Tan Yen Ming yang menyampaikan lagu Nazam Asmara. Dia membawa pulang wang tunai sebanyak RM3,000 dan piala iringan.

Anugerah Khas Juri pula diberikan kepada satu-satunya peserta India, Visvanathan Singh yang menerima wang tunai RM3,000 dan piala iringan. Dia mendendangkan lagu Firasat.

Peserta lain, Melisa Roslan, Teng Sze Yee, Tan Gin Khiam, Rhodia Tok Dai Ling, Azzerulnizar Azizan dan Farhana Mohamad Arshad masing-masing menerima hadiah saguhati dalam bentuk wang tunai RM1,000, sijil dan piala iringan.

Disiarkan secara langsung di RTM 1, Bintang Irama Malaysia 2008 yang dianjurkan bersama Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara, Kementerian Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Jabatan Penyiaran dan Kementerian Penerangan Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Powered by Blogger.