Monday, 12 January 2009

Sesi Ujibakat Akademi Fantasia bermula!

Anda minat menonton Akademi Fantasia di Astro? Saluran Astro Ria (saluran 104) yang terus sinonim dengan penerbitan rancangan realiti nyanyian popular; Akademi Fantasia kini membuka lembaran baru bagi tahun 2009 dengan meneruskan misi bagi pencarian juara baru untuk musim ketujuh.


Menurut Pengurus Saluran Astro Ria; Encik Khairul Mizan, “Objektif utama penerbitan Akademi Fantasia pada musim adalah untuk memberikan kelainan dalam kandungan tempatan dan format program di samping komitmen kami dalam mencari dan membimbing bakat-bakat baru bagi mewarnai persada seni tempatan. Bersesuaian dengan arus peredaran zaman, beberapa elemen pembaharuan dilakukan bagi memberikan saingan yang lebih sengit di kalangan peserta.

Buat pertama kalinya, kami bukan sahaja membuka peluang kepada warganegara Malaysia tetapi juga kepada warganegara Singapura termasuklah golongan artis yang ingin mencuba nasib dalam pertandingan realiti nyanyian popular ini. Walau bagaimanapun, kami hanya memberi peluang kepada golongan artis yang tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman mahupun pengurusan.”

“Perubahan elemen kepada syarat kelayakan penyertaan ini juga turut mengalu-alukan penyertaan peserta dari negara jiran iaitu Singapura. Keputusan bagi membuka peluang kepada warganegara Singapura ini dilihat sejajar dengan hasrat saluran Astro Ria yang ingin meluaskan pengaruhnya kepada penonton di Singapura melalui rancangan Akademi Fantasia yang juga boleh ditonton melalui mio TV; milik Singtel. Ini membuka peluang kepada Astro Ria terutamanya Akademi Fantasia untuk meraih sokongan yang meluas dari seluruh warganegara Singapura.

“Pihak penerbitan dan produksi tidak sabar-sabar lagi untuk memulakan penjelajahan ujibakat ke empat buah negeri seperti Kuala Lumpur, Johor, Sabah dan Sarawak bagi mencari bakal-bakal penyanyi yang berpotensi untuk diketengahkan,” ujar Khairul lagi.

Nama-nama seperti Vince, Zahid, Mawi, Faizal, Mila, dan Stacy adalah nama-nama yang pernah merangkul gelaran juara di sepanjang Akademi Fantasia musim pertama berlangsung hinggalah musim keenam dan telah berjaya menempatkan diri di kalangan artis-artis popular yang berbakat dan mempunyai kualiti yang tersendiri. Sessi ujibakat bagi mencari juara baru yang akan menyertai barisan juara seperti yang disebut akan diadakan pada:

Kuala Lumpur
Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur
17 - 18 Jan

Johor
The Zon Regency Hotel, Johor Bahru
24 - 25 Jan

Sabah
Borneo South Atrium, Kota Kinabalu
30 - 31 Jan & 1 Feb

Sarawak
Enter K Entertainment, Crown Tower, Kuching
31 Jan & 1 Feb

Kuala Lumpur
Kompleks Sukan Bukit Jalil, Kuala Lumpur
7 – 8 Feb

Kaunter pendaftaran bagi setiap sessi ujibakat dibuka dari jam 9.00 pagi hingga 1.00 petang dan para peserta digalakkan untuk hadir awal bagi mengelakkan kesesakan. Mereka yang berminat hanya perlu membawa salinan kad pengenalan berserta dua keping gambar berukuran 4R (gambar profil dan paras pinggang) dan menyanyi secara acapella lagu-lagu pilhan seperti berikut:

Lagu-lagu pilihan untuk peserta wanita:
1. No One (Alicia Keys) R&B
2. Kalis Rindu (Elyana) R&B
3. Dikir Puteri (Noraniza Idris) Irama Malaysia
4. Karma (Cokelat) Pop
5. Tari Silat Melayu (Aishah) Irama Malaysia

Lagu-lagu pilihan untuk peserta lelaki:
1. Angan dan Sedar (Mawi)Pop
2. You Raise Me UP (Josh Groban) R&B
3. Ketelusan Hati (Anuar Zain)Balada
4. Hanya Engkau Yang Mampu (Aizat) Balada
5. Ada (M.Nasir) Irama Malaysia

Syarat ujibakat:

  1. Peserta lelaki dan wanita
  2. Berumur di antara 18 – 45 tahun
  3. Warganegara Malaysia dan Singapura termasuk artis yang tidak terikat dengan sebarang kontrak rakaman mahupun pengurusan

Sila bawa:

  1. 2 keping gambar berukuran 4R : gambar profil dan paras pinggang
  2. Salinan kad pengenalan

Pada musim ketujuh ini, sekali lagi Hotlink hadir menghulurkan sokongan sebagai penaja rasmi dan pihak produksi dan penerbitan juga sekali lagi mengalu-alukan kedatangan Majalah Aksi AF selaku majalah rasmi. Rancangan Akademi Fantasia musim ketujuh ini akan bersiaran di saluran rasmi Astro Ria (saluran 104).

1 comment:

Search This Blog

Powered by Blogger.