Thursday, 5 February 2009

Farid Kamil Terima Anugerah Seni Negara

Majlis Anugerah Seni Negara Ke-8 yang akan berlangsung pada 18 Februari ini membawa pencapaian paling bermakna buat pelakon kacak, Farid Kamil Zahari, apabila dikurniakan Anugerah Bakat Muda bagi kategori Seni Lakon.

Apa yang membanggakan, Farid, 27, akan menerima anugerah istimewa itu daripada DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin Ibni Al-Marhum Sultan Mahmud Al-Muktafi Billah Shah dalam satu majlis khas di Grand Ballroom, Hotel Shangri-La, Kuala Lumpur pada tarikh berkenaan.

Mengesahkan perkara ini kepada portal murai.com.my, Farid berkata, dia amat terharu dengan anugerah yang diberikan oleh Kerajaan Malaysia khususnya Kementerian Perpaduan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Malaysia (KPKKW) itu kerana tidak pernah menyangka mendapat pengiktirafan.

"Saya telah menerima surat rasmi daripada pihak kementerian berkenaan, baru-baru ini dan sungguh terkejut dan terharu. Maklumlah saya baru 8 tahun berjuang sebagai anak seni dan perjuangan saya itu telah dihargai oleh kerajaan.

"Apa yang dapat saya katakan, anugerah ini benar-benar membakar semangat saya untuk terus berlakon dan mengarah," kata Farid.

Anak kelahiran Alor Setar, Kedah yang juga graduan UiTM dalam jurusan Seni Persembahan (Filem) ini mula berlakon dalam filem Mistik arahan Prof A Razak Mohaideen. Beliau kemudiannya dibimbing oleh pengarah lain seperti Mamat Khalid, Zarina Abdullah, Osman Ali dan Saw Teong Hin.

Antara filem lain yang dibintanginya adalah Jutawan Fakir, Cinta Kolesterol, Kuliah Cinta, Hingga Hujung Nyawa, 7 Perhentian, Potret Mistik, Lady Boss, Cinta Fotokopi, Anak Mami Kembali, Main-Main Cinta, Chermin, Remp-It, Anak Halal, Evolusi KL Drift, Apa Kata Hati?, I'm Not Single, Kala Malam Bulan Mengambang dan terbaru, Estet serta Remp-It V3.

Beliau yang juga pelakon iklan baru saja selesai mengarahkan filem pertamanya, Rempit-V3 yang dibintangi oleh Bront Palarae, Radhi OAG, Lisa Surihani dan Aqasha.

Anugerah Seni Negara dianjurkan setiap 2 tahun sekali bermula 1993 bertujuan memberikan pengiktirafan kepada penggiat seni dan karyawan tanah air. Selain Seni Lakon, kategori lain yang disediakan adalah Seni Tari, Seni Muzik dan Seni Tampak.

Source: Murai.com.my

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Powered by Blogger.