Sunday, 15 February 2009

Gambar Kahwin Que Haidar dan Linda Jasmine-Artis merpati dua sejoli

Tahniah Que Haidar dan Linda!Konsep Bali Dalam Taman menjadi pilihan Tengku Iskhan Tengku Haidar atau Que Haidar, 29, dengan Linda Jasmine Murad Hashim atau Linda Jasmine, 36, sewaktu majlis pernikahan serta persandingan mereka diadakan di restoran Bora Ombak, Ampang, petang semalam.



What a wonderful couple~!

Pemilihan konsep tersebut berjaya mencetuskan suasana penuh romantis dalam majlis bermakna bagi pasangan mempelai itu yang turut diadakan bersempena Hari Kekasih.

Lebih menarik lagi apabila putih turut dijadikan rona tema bagi keseluruhan majlis ini seolah-olah membawa simbol cinta suci yang telah termeterai antara mereka berdua sehingga menjadi suami isteri.

"Alhamdulillah kerana semuanya berjalan seperti apa yang dirancangkan. Saya juga bersyukur dan gembira kerana telah memperisterikan Linda dalam majlis yang disaksikan ramai tetamu ini.

"Pada awalnya, saya memang rasa sedikit gementar, seram serta gemuruh. Maklumlah bukan senang hendak berhadapaan dengan saat-saat seperti ini. Tapi, apabila segala-galanya selesai, saya rasa cukup lega.

"Saya berdoa agar perkahwinan ini akan kekal hingga ke akhir hayat. Saya tahu ramai di luar sana yang mungkin mempertikaikan tentang perbezaan usia saya dengan Linda. Tapi bagi saya, semua itu bukanlah halangan," kata Que kepada murai.com.my.

Apa yang Que ingin serlahkan kepada semua adalah dia sememangnya cukup menyayangi Linda dengan sepenuh jiwa.

"Atas sebab itu juga saya sanggup mengambil tanggungjawab untuk membesarkan anak Linda, Qalif, bersama-sama. Saya sayang Qalif sebagaimana saya sayangkan Linda. Saya juga sudah memikirkan banyak perkara tentang Qalif - tentang pelajarannya dan persekolahannya. Juga bagaimana untuk membesarkannya dan bagaimana kalau dia sudah ada adik nanti.

"Namun Qalif sememangnya anak yang bijak. Dia juga nakal tapi nakalnya itu adalah yang biasa pada kanak-kanak. Disebabkan kenakalannya itu, dia pandai membuatkan saya terhibur dengan gelagatnya," kata Que yang sentiasa diapit teman baiknya, pengacara Awal Ashaari.

Tentang pemilihan RM1,101 sebagai mas kahwin untuk Linda pula, Que berkata, ia tidak membawa apa-apa makna yang lain kecuali angka yang sering digunakan bagi kalangan kerabat diraja Kedah.

"Saya akui selepas berkahwin tanggungjawab saya sebagai suami akan menjadi lebih besar lagi. Saya harus membimbing Linda dengan sebaik-baiknya. Saya tidak pernah minta dia untuk pakai seksi tetapi apa yang lebih penting saya harap dia pandai menjaga diri, tingkah laku serta pandai menghormati saya, keluarga atau sesiapa saja.

"Saya rasa itu yang lebih penting," kata Que lagi yang mengakui cukup meminati keindahan pantai tetapi masih belum memikirkan destinasi berbulan madu mereka.


Linda mahu cepat-cepat timang anak lagi


Sementara itu Linda yang sentiasa kelihatan cantik dan anggun persis anak dara pula berkata, dia menyukai Que kerana dia seorang lelaki yang baik, jujur, tidak hipokrit, pandai melayannya dengan baik, suka membuat dia tertawa dan secara berseloroh akui, Que tahan mendengar dia membebel!

"Pendek kata, setiap kali bersama dengan Que, saya rasa cukup gembira. Dalam hubungan, saya rasa perkara itu cukup penting sekali. Tidak kira apa kelemahan atau kekurangan diri, kita haruslah terima orang yang kita cintai itu seadanya.

"Sebab itulah saya sedia untuk berkahwin dengan Que. Malah saya juga sudah bersedia untuk menimang anak lagi . Kalau boleh, saya mahu dapat anak secepat mungkin," katanya yang memilih teman baiknya pengacara jelita, Shasha Bashir sebagai pengapit.

Que dan Linda telah dinikahkan oleh jurunikah Abu Sapian Jasin di Bora Ombak, kira-kira jam 5.40 petang. Majlis pernikahan mereka bagaimanapun menimbulkan sedikit kecoh apabila lafaz pertama yang diucapkan Que dianggap tidak sah kerana tidak menyebut nama bapa Linda.

Terdahulu, Abu Sapian tersasul menyebut jumlah mas kahwin RM1,101 yang diberikan pihak lelaki kepada pihak perempuan menyebabkan lafaz pertama tersebut terpaksa diucapkan semula.

Hanya menerusi lafaz kedua, barulah Que dan Linda yang sama anggun dengan busana rekaan Datuk Sharifah Kirana, akhirnya sah disatukan.

Majlis persandingan pasangan ini kemudian diadakan sekitar jam 9 malam di tempat yang sama yang mana, kali ini menyaksikan Que dan Linda mengenakan baju pengantin rekaan Lord's Tailor serta Syaiful Bahrim.

Upacara tepung tawar serta makan beradab turut disertai keluarga kedua-dua pihak. Keluarga Que datang dari Kedah dan Johor, manakala Linda pula dari ibu negara. Majlis perkahwinan Linda dan Que ini turut dibantu oleh sepupu Linda, penyanyi Jeslina Hashim.

Acara potong kek 7 tingkat yang ditaja Blooming's Cake pula menyaksikan Que dan Linda mengenakan pakaian rekaan Lord's Tailor dan Calvin Thoo. Majlis perkahwinan mereka ini turut mendapat tajaan Habib Jewels.

Tahniah Que Haidar dan Linda!

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Powered by Blogger.