Thursday, 9 April 2009

Anugerah Industri Muzik AIM 16



Memasuki edisi ke-16 tahun ini, senarai calon akhir AIM16 telah diumumkan dalam satu sidang media yang diadakan baru-baru ini.

Agak sesuatu yang menarik juga ingin diperkatakan tentang AIM 16 apabila format penjurian telah banyak berubah seiring dengan senario industri muzik terkini.

Sejak album tidak banyak lagi diterbitkan, AIM 16 kini dinilai menerusi lagu mahupun single diterbitkan sepanjang tahun lalu.

Secara tidak langsung, ia membuka lebih banyak peluang kepada artis yang mungkin sebelum ini tidak mampu menyertai AIM kerana terikat dengan syarat-syarat yang telah ditetapkan sejak AIM berlangsung pada tahun 1994.

Bukan itu sahaja, persaingan hebat penyanyi senior dan junior juga memperlihatkan bagaimana industri hiburan kita sebenarnya mempunyai bakat seni yang tidak kurang hebatnya.

Mungkin ramai yang sudah tahu atau bagi mereka yang tidak sedar dengan kehadiran AIM 16, penyanyi hip hop terkenal, Joe Flizzow dan biduanita muda negara, Datuk Siti Nurhaliza mendahului AIM 16 apabila masing-masing menerima tujuh pencalonan.

Pencalonan yang diterima mereka itu adalah daripada penghasilan album mereka, masing-masing berjudul President dan Lentera Timur yang diterbitkan tahun lalu.

Menerusi albumnya itu, Joe dicalonkan untuk kategori Artis Baru Terbaik, Kulit Album Terbaik, tiga pencalonan bagi Lagu Hip Hop Terbaik, Album Inggeris Tempatan Terbaik serta Lagu Inggeris Tempatan Terbaik.

Bagi Siti yang sememangnya cukup sinonim dengan AIM menerima dua pencalonan dalam kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu menerusi lagu Di Kayangan Kita dan Di Taman Teman.

Kedua-dua lagu itu juga akan merebut kemenangan dalam kategori Lagu Pop Etnik Terbaik selain album Lentera Timur yang akan bersaing hebat dengan tiga calon lain untuk dinobatkan sebagai Album Pop Etnik Terbaik.

Selain itu, dua buah lagu nyanyian Siti, Di Taman Teman dan Pada Cintanya pula dicalonkan dalam kategori Susunan Muzik Terbaik Di Dalam Lagu.

Untuk menghangatkan lagi debaran AIM 16 yang bakal berlangsung pada 2 Mei depan di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), stesen televisyen yang terkenal dengan tagline Saluran Ceria Anda, ntv7 akan menyiarkan sebuah rancangan khas, Prelude AIM 16.

Sejak diperkenalkan lima tahun lalu, Prelude AIM mengalami evolusi yang sangat ketara dari segi penerbitan serta isi kandungannya sekali gus debaran AIM dapat dirasai setiap tahun.

Sebagai kelainan, untuk tahun ini tidak akan ada lagi persembahan nyanyian oleh bekas pemenang serta calon akhir AIM sebagaimana lazimnya. Satu pendekatan baru telah diambil dalam usaha untuk mendekatkan lagi AIM dengan penonton setia ntv7.

Dengan mengambil konsep infotainment, Prelude AIM 16 yang akan memulakan siarannya malam ini bermula pukul 9 malam akan melihat sejarah penganjuran AIM sepanjang 15 tahun yang lalu.

Dibahagikan kepada empat episod, penonton akan menyaksikan bagaimana perkembangan AIM yang kini menjadi acara anugerah yang cukup signifikan di negara ini.

Prelude AIM 16 juga akan menampilkan temu bual bersama personaliti terkenal seperti Roslan Aziz, Datuk Sheila Majid, Datuk Siti Nurhaliza, Ning Baizura, Habsah Hassan, Anuar Zain serta ramai lagi untuk memberikan pandangan mereka terhadap penganjuran AIM.

Apatah lagi, ada di antara mereka merupakan pemenang terdahulu dalam AIM dan pastinya sesuatu yang cukup menarik apabila mereka berkongsi pengalaman dengan peminat saat nama mereka diangkat sebagai pemenang.

Selain itu, rancangan yang diterbitkan oleh Bairulnizam Bahrom ini juga akan menyorot kembali persembahan- persembahan hebat yang pernah mewarnai pentas AIM sejak 15 tahun lalu selain memaparkan fesyen yang digayakan oleh personaliti dan artis sewaktu malam AIM.

Episod keempat Prelude AIM yang disifatkan sebagai episod kemuncak pula akan merungkai segala rahsia tentang konsep AIM 16 serta pengacara yang diberi mandat untuk mengemudikan acara gilang-gemilang itu nanti.

Malah, elemen kejutan yang ditampilkan pada malam itu nanti juga bakal didedahkan menerusi episod ini, selain daripada barisan artis yang dipilih untuk membuat persembahan tahun ini.

Untuk itu, adalah menjadi satu kerugian besar sekiranya anda melepaskan peluang menonton Prelude AIM 16.

Jadi, pastikan temu janji anda bersama ntv7 setiap hari Khamis, pukul 9 malam bermula malam ini selama empat minggu berturut-turut untuk menyelami dan menyelusuri perjalanan acara AIM, anugerah yang cukup berprestij ini.


1 comment:

  1. Bilalah Anuar Zain nak kawin...

    ReplyDelete

Search This Blog

Powered by Blogger.