Friday, 4 June 2010

Pernikahan Saiful Nizam (TV3) & Aida (Gadis Melayu)

Juara Gadis Melayu musim pertama Aida, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, pembaca berita Buletin Utama TV3, Mohd Saiful Nizam Ismail, semalam. - Foto oleh RICKY LAI

RAWANG: Juara Gadis Melayu musim pertama, Khairul Noormaaidah Zali atau Aida, 25, selamat diijabkabulkan dengan pasangannya, pembaca berita Buletin Utama TV3, Mohd Saiful Nizam Ismail dengan sekali lafaz di rumah keluarga pengantin perempuan di Bandar Country Homes, Rawang, malam semalam.

Mohd Saiful dan Aida dinikahkan oleh bapa pengantin perempuan, Zali Ismail, 59 dengan mas kahwin RM6,000 kira-kira jam 9.30 malam.

Akad nikah dilakukan di hadapan Pendaftar Nikah, Cerai dan Rujuk, Pejabat Jabatan Agama Islam Daerah Gombak Cawangan Kuang, Mohd Nordin Abdullah dengan disaksikan Mohamad Jamil Yeop Majlis dan Mohamad Jamaluddin Yeop Majlis.

Kedua-dua pengantin kelihatan anggun mengenakan busana rona putih sedondon rekaan pereka fesyen terkenal Radzuan Radzwil pada majlis yang dihadiri kira-kira 500 tetamu terdiri daripada saudara mara dan kenalan rapat mereka.

Antara personaliti televisyen yang hadir termasuk Datin Norazlina Ridzuan, Norhaizi Mohd Rani, Zainal Arifin Ismail dan Zulhairah Mustafa.

Selesai sahaja majlis pernikahan, Saiful terus mengerjakan sujud syukur manakala Aida yang menanti di pelamin kelihatan menitiskan air mata kerana akhirnya cinta yang disemi berakhir di jinjang pelamin.

Sejurus selepas itu, Saiful menyarungkan cincin perkahwinan di jari manis Aida. Majlis diteruskan dengan acara tepung tawar oleh kedua-dua keluarga pengantin baru.

Pada malam pernikahan itu, Aida menerima tujuh dulang hantaran iaitu, jam tangan, cincin, kasut, beg tangan, kek, sirih junjung, set barang kemas, set solekan jenama SKII dan kasut.

Mohd Saiful pula menerima sembilan dulang iaitu, Tafsir Al-Quran, songket, butang baju Melayu, cincin, kemeja, cermin mata gelap, sirih junjung, kasut, jam tangan dan kek.

Pada 13 Jun, pasangan itu akan diarak dengan kuda semasa majlis persandingan di rumah pihak lelaki di Changlun, Kedah.

Hari ini, mereka akan disandingkan ala-ala kesultanan Melayu dengan sentuhan perunding perkahwinan Arma Abdul Rahman.

Majlis resepsi mereka itu akan diadakan di Dewan Sivik Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).

Source: MSTAR

No comments:

Post a Comment

Search This Blog

Powered by Blogger.